Sunday 16 October 2011


MANA MAK?

Mana Mak?' 


Jam 6.30 petang.

Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.

Ayah baru balik dari sawah.

Ayah tanya Mak, “Along mana?’

Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”

Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”

Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”

Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”

Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”

Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”

Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian

Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”

Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”

Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”

Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.

Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"

Ateh menjawab, “Entah.”

Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”

Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.


Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”

Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nombor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"

Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .

Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.

Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."

Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”

Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.

Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian

Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?
 Terima kasih:
Na Bieylah







KAEDAH MANDI SONGSANG ...


Mandi Songsang Untuk Awet Muda Lazimnya orang akan mandi dengan menjiruskan air bermula pada bahagian kepala. Cara mandi begini sebenarnya akan memberikan kesan yang negatif pada kesihatan diri dan sistem saraf pendarahan otak akan mengecut kerana siraman air tersebut. Hal ini akan membuatkan sistem otak akan terjejas. Cara mandi biasa akan menyebabkan sistem pertahanan badan akan menjadi lemah. Mandi songsang adalah amalan membasahkan tubuh badan bermula dari kaki dan beransur-ansur membasahi bahagian atas badan kemudian diakhiri dengan kepala. (kecuali mandi hadas besar dimulakan dari siraman di kepala)

Kebaikan dan Kelebihan Mandi Songsang:
 1) Anda akan awet muda dan sentiasa kelihatan segar.
 2) Bahagian otak anda akan menjadi bertambah baik untuk befungsi, kerana mandi sonsang akan mengembangkan salur darah otak.
 3) Sistem pertahanan badan anda bertambah baik fungsinya untuk tahap kesihatan yang maksima. 
 4) Anda boleh kurangkan stress.
 5) Anda boleh meninggikan daya ingatan anda.
 6) Mengelakkan atau mengurangkan sakit kepala.
 7) Jiwa anda akan sentiasa bersemangat. 
 8) Menguatkan gusi dan gigi anda.

Terima kasih:

Saturday 15 October 2011

KITA SEPATUTNYA MENGAWAL HARTA ...

Hari ini Sabtu, 15 Oktober, sebagaimana rutinku, jam 7 pagi sambil menyiapkan sarapan di dapur, perkongsian ilmu dari radio IKIM menangkap pendengaranku.  

Pagi ini, Dr Muhaya, dalam slot Islam Itu Indah memilih tajuk bakal jenazah.  Katanya kita semua akan menjadi jenazah pada suatu hari nanti.  Sebenarnya satu daripada pengisiannya adalah tentang kita dann harta.  Kita sepatutnya mengawal harta bukan dikawal atau dikuasai oleh harta.  Hal ini demikian kerana apabila kita mengawal harta, kita akan menggunakan harta yang ada untuk bersedekah, membantu orang lain, memudahkan urusan orang lain dan mengeratkan silaturahim.  Namun, apabila kita dikuasai atau dikawal oleh harta, hubungan kekeluargaan akan jauh, walaupun dekat hati tak bertaut.  Entahlah...  Sebagai contohnya, apabila bertelefon, bukan khabar berita yang ditanya, pasti hal berkaitan harta.  Ada saja urusan harta yang dibincangkan yang menjadikan hati membengkak dan berusaha menjauhkan diri supaya lebih tenteram.  Kesannya, hati semakin jauh dan sukar bertaut.  Juteru pesan, Dr. Muhaya, biarlah kita mengalah supaya tidak berbalah dan nampak bodoh di mata manusia asalkan Allah memandang mulia amalan kita.  Kadang-kadang kita cuba jadi baik tapi pada mata orang lain kita buat kerja bodoh.  

Kenangkanlah bahawa kita semua ini  merupakan bakal jenazah.  Marilah kita bersama-sama berusaha mengawal atau menggunakan harta yang dimiliki untuk membahagiakan suami/isteri, anak-anak, ibu bapa, saudara-mara, jiran tetangga dan sahabat.

BAJA ORGANIK IKAN BILIS

BAJA ORGANIK IKAN BILIS



    Kepala dan najis ikan bilis.       Setelah dikisar kering ... siap untuk digunakan sebagai baja organik.


Terima kasih kak Zihan atas perkongsian petua tentang baja organik ikan bilis.  Baru saya tahu begini caranya nak buat baja organik tahi ikan bilis.  Sebelum ini puas dikumpulkan dan direndam, sudahnya busuk tak tertahan.  Baja ini telah kusiram ke pokok orkid dan beberapa pokok yang lain.  Mudah-mudahan berbunga pokok orkid.  Menurut kak Zihan pokok bunga rosnya berbunga lebat.  Cemburu aku.  Apa-apa pun aku dah cuba.  

CORETANKU

RAHSIA BAHASA ANAK MATA





Kelihatannya amat kecil, namun peranan dan kesannya cukup luas. Ianya adalah Rahsia Anak Mata. Ilmu ini saya  peroleh  daripada sebuah rancangan Motivasi Pagi yang sering kali saya dengar di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 17 Mac 2011.  Terima kasih diucapkan kepada pakar motivasi tersebut, sayangnya saya tidak tahu namanya. Cukup menghibur hati dan mengukir jiwa  apabila mendengarnya dan ingin  disebarkan serata alam.  Semoga perkongsian ilmu ini menjadi jariah kelak.



          Menurut pakar motivasi tersebut, pergerakan anak mata kita terbahagi kepada 6 situasi.

1.  Pertamanya, MELIRIK KE KANAN ATAS.  Anak mata kita yang lebih hebat daripada kamera ini sedang menangkap imej yang dilihat (visualization).  Segala imej yang dilihat akan dirakam dalam minda.  Lebih lama sesuatu dilihat akan lebih lama dalam ingatan.  Sebagai contoh kita melihat peta Malaysia.  Oleh itu, galakkan anak-anak membaca dengan meletakkan buku di bahagian kanan atas (posisi seperti kita duduk menonton televisyen).

2.  Keduanya, MELIRIK KE KIRI ATAS.   Keadaan anak mata ini menunjukkan kita sedang mengingat kembali apa-apa yang telah kita lihat (visualkan).  Sebagai contoh, apabila kita melihat peta Malaysia tadi berulang kali, kemudian apabila kita melirik ke kiri atas, peta Malaysia tersebut seakan-akan berada di depan mata kita.  Oleh itu, apabila anak-anak kita menjawab peperiksaan mereka, lazimnya kertas soalan akan berada di kedudukan sebelah kiri.  Hal ini sudah tentu akan memudahkannya mengingat kembali apa-apa yang telah dipelajari. 

3.  Ketiganya, MELIRIK KE TELINGA KANAN.  Situasi ini menunjukkan bahawa kita sedang  mengamati bunyi-bunyian yang tidak pernah didengari sebelum ini.  Kita akan cuba menangkap bunyi tersebut untuk didaftarkan di minda kita.  Sebagai contoh, apabila kita pertama kali mendengar katak menyanyikan lagu Raihan,  sudah tentu kita akan melirik ke arah telinga kanan untuk menangkap bunyi tersebut.

4.  Keempatnya, MELIRIK KE ARAH KIRI TELINGA.  Hal ini bermaksud, kita sedang mengingati bunyi yang pernah didengari sebelum ini. Sebagai contoh, apabila seorang kawan anda bertanyatentang bunyi kereta Formula 1, tanpa anda sedar mahupun tidak, sebenarnya anak mata anda sedang menoleh dan bergerak ke arah kiri telinga, sekiranya kita pernah mendengarkan bunyi tersebut sebelum ini.

5.  Kelimanya, MELIRIK KE DADA KANAN.  Hal ini menandakan bahawa  kita sedang merasai  sesuatu situasi mahupun keadaan (boleh juga diertikan sedang berkhayal). 

6.  Keenamnya, MELIRIK KE DADA KIRI.   Hal ini bermaksud bahawa kita sedang memainkan dialog dalaman atau dalam erti kata lain, anda sedang bermonolog dengan diri sendiri.

Itulah serba sedikit perkongsian ilmu yang saya kongsikan dengan pembaca sekalian. Namun, ingin saya nyatakan  di sini, perkara ini berdasarkan kajian dan peratusan ketepatannya agak tinggi. Mungkin ia tidak berlaku kepada saudara namun mungkin ia berlaku tanpa disedari atau mungkin juga ia berlaku kepada orang sekitar anda. Manfaatkanlah ilmu yang tidak sampai setitis ini. Moga ia memberi kita pengajaran. InsyaALLAH...


Terima kasih kepada Muhammad Syahir Al-'Assya.