Saturday 15 October 2011


CORETANKU

RAHSIA BAHASA ANAK MATA





Kelihatannya amat kecil, namun peranan dan kesannya cukup luas. Ianya adalah Rahsia Anak Mata. Ilmu ini saya  peroleh  daripada sebuah rancangan Motivasi Pagi yang sering kali saya dengar di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 17 Mac 2011.  Terima kasih diucapkan kepada pakar motivasi tersebut, sayangnya saya tidak tahu namanya. Cukup menghibur hati dan mengukir jiwa  apabila mendengarnya dan ingin  disebarkan serata alam.  Semoga perkongsian ilmu ini menjadi jariah kelak.



          Menurut pakar motivasi tersebut, pergerakan anak mata kita terbahagi kepada 6 situasi.

1.  Pertamanya, MELIRIK KE KANAN ATAS.  Anak mata kita yang lebih hebat daripada kamera ini sedang menangkap imej yang dilihat (visualization).  Segala imej yang dilihat akan dirakam dalam minda.  Lebih lama sesuatu dilihat akan lebih lama dalam ingatan.  Sebagai contoh kita melihat peta Malaysia.  Oleh itu, galakkan anak-anak membaca dengan meletakkan buku di bahagian kanan atas (posisi seperti kita duduk menonton televisyen).

2.  Keduanya, MELIRIK KE KIRI ATAS.   Keadaan anak mata ini menunjukkan kita sedang mengingat kembali apa-apa yang telah kita lihat (visualkan).  Sebagai contoh, apabila kita melihat peta Malaysia tadi berulang kali, kemudian apabila kita melirik ke kiri atas, peta Malaysia tersebut seakan-akan berada di depan mata kita.  Oleh itu, apabila anak-anak kita menjawab peperiksaan mereka, lazimnya kertas soalan akan berada di kedudukan sebelah kiri.  Hal ini sudah tentu akan memudahkannya mengingat kembali apa-apa yang telah dipelajari. 

3.  Ketiganya, MELIRIK KE TELINGA KANAN.  Situasi ini menunjukkan bahawa kita sedang  mengamati bunyi-bunyian yang tidak pernah didengari sebelum ini.  Kita akan cuba menangkap bunyi tersebut untuk didaftarkan di minda kita.  Sebagai contoh, apabila kita pertama kali mendengar katak menyanyikan lagu Raihan,  sudah tentu kita akan melirik ke arah telinga kanan untuk menangkap bunyi tersebut.

4.  Keempatnya, MELIRIK KE ARAH KIRI TELINGA.  Hal ini bermaksud, kita sedang mengingati bunyi yang pernah didengari sebelum ini. Sebagai contoh, apabila seorang kawan anda bertanyatentang bunyi kereta Formula 1, tanpa anda sedar mahupun tidak, sebenarnya anak mata anda sedang menoleh dan bergerak ke arah kiri telinga, sekiranya kita pernah mendengarkan bunyi tersebut sebelum ini.

5.  Kelimanya, MELIRIK KE DADA KANAN.  Hal ini menandakan bahawa  kita sedang merasai  sesuatu situasi mahupun keadaan (boleh juga diertikan sedang berkhayal). 

6.  Keenamnya, MELIRIK KE DADA KIRI.   Hal ini bermaksud bahawa kita sedang memainkan dialog dalaman atau dalam erti kata lain, anda sedang bermonolog dengan diri sendiri.

Itulah serba sedikit perkongsian ilmu yang saya kongsikan dengan pembaca sekalian. Namun, ingin saya nyatakan  di sini, perkara ini berdasarkan kajian dan peratusan ketepatannya agak tinggi. Mungkin ia tidak berlaku kepada saudara namun mungkin ia berlaku tanpa disedari atau mungkin juga ia berlaku kepada orang sekitar anda. Manfaatkanlah ilmu yang tidak sampai setitis ini. Moga ia memberi kita pengajaran. InsyaALLAH...


Terima kasih kepada Muhammad Syahir Al-'Assya.

No comments:

Post a Comment